BAB 2
NUR AMINAH atau mesra dipanggil
Cahaya dikalangan orang terdekat, bernyanyi-nyanyi kecil sambil membasuh beras
disingki. Dahulu, dia tertanya-tanya jugak mengapa orang memanggilnya dengan
nama itu. Sedangkan nama penuhnya Nur Aminah. Setelah ditanya pada ibunya, baru
dia mengerti. Kata ibunya, ketika melahirkannya, bulan pada malam tersebut
bercahaya indah seolah-olah gembira dengan kehadirannya di bumi ini. Daripada
situ tercetusnya ilham untuk memanggil dirinya Cahaya selain daripada maksud
nama pangkal, Cahaya. Selain itu, nama arwah ibu arwah abahnya juga, Cahaya.
Jadi, diabadikan nama itu terhadap dirinya. Aminah itu pula bersempena dengan
nama bonda baginda Rasulullah SAW.
Hati Cahaya berlagu riang hari ini.
Berita yang dia terima pagi ini sungguh mengujakan hatinya. Setelah beberapa
tahun menunggu, akhirnya impiannya untuk melanjutkan ke menara gading tercapai.
Kiranya, tidaklah tak berguna langsung Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu.
Walaupun hanya mencapai keputusan yang sederhana, namun tetap membuahkan hasil
apabila dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik Sultan Haji
Ahmad Shah (PoLiSas) di Kuantan, Pahang. Sungguh hatinya memanjatkan syukur
yang tidak terhingga apabila dia menerima khabar itu pada Yang Maha Esa.
Sepatutnya dia memenjaki institut pengajian tinggi itu setahun yang lepas. Namun
ekoran halangan daripada maknya, dia terpaksa memadamkan hasratnya. Tetapi,
berkat pertolongan rakannya, Salina kali ini dia terpilih. Gembira bukan
kepalang lagi hatinya saat ini. Senyumannya kalau boleh sampai ke telinga.
“Hai, anak dara buat kerja sambil
tersengih-sengih ni, apa kes? Nanti kang kembang pulak beras tu…tak menjadi
nasi. Habis tetamu kita, tak makanlah jawabnya.” Tegur Kamsah pada anak daranya
yang satu itu. Hatinya dipagut tanda tanya. Apalah yang membuatkan anaknya
tersenyum-senyum sampai begitu sekali.
“Mak ni… bagilah salam dulu sebelum
tegur orang. Nasib baik anak mak ni tak ada penyakit kronik. Kalau ada, memang
mak dah kena hantar Aya pergi hospital dah tau. Habis dah duit melayang dekat
situ.” Cahaya tersengih malu. Rasa gembiranya masih tidak hilang. Malah, sindiran
kecil daripada maknya juga tidak mampu untuk membuang perasaan gembira itu.
Tangannya masih lincah membilas beras buat kali yang terakhir.
“Eh, ke situ pulak dia. Betullah
apa yang mak cakap tu. Tak baik tau anak dara buat kerja macam tu.
Tersengih-sengih, dah macam orang angau mak tengok. Jangan risau, mak ni dah
bela kamu dari kecil tapak tangan, sampailah dah besar ni. Setakat ni
alhamdulillah sebab kamu memang tak ada penyakit-penyakit kronik. Hah, sebab apa
kamu tersengih-sengih nak sampai ke telinga?” Kamsah sudah mahu
mengorek rahsia anaknya yang dipanggil Cahaya itu. Jarang sekali dia melihat
anak gadisnya itu tersengih seperti itu. Seperti sesuatu yang bahagia sedang
menggamit diri anaknya itu.
Cahaya sekadar tersenyum manis.
Kain buruk yang berada berhampiran dicapai. Lalu, dilap sekeliling periuk untuk
memasak nasi secara automatik itu. Penutup periuk nasi diambil dan ditutup
kemas pada periuk nasi tersebut. Suis dihidupkan. Tangannya yang lembab dilap
pada kain buruk. Selesai pun tugasnya memasak nasi.
Kamsah masih lagi setia menunggu
jawapan daripada anaknya sambil mencarik-carik pucuk ubi yang baru dia ambil
dikebun kecil di belakang banglo Tuannya.
“Mak…” panggil Cahaya perlahan.
Rasa hatinya yang gembira tadi bertukar gemuruhlah pula. Gemuruh untuk
memberitahu kepada maknya tentang khabar gembira ini. Sememangnya gembira
untuknya namun tidak pasti buat maknya.
“Hmmm…” sahut Kamsah
bersahaja. Menunggu bila anaknya mahu membuka mulut.
“Mak, Aya ada benda nak cakap ni…”
ucap Cahaya dengan intonasi yang perlahan. Makin kencang pula degupan
jantungnya ini. Terasa takut untuk melihat reaksi ibunya terhadap khabar itu.
Dulu, ibunya pernah menolak apabila dia menyuarakan impiannya untuk melanjutkan
pelajaran. Kata ibunya, dia sekeluarga orang miskin. Mana ada duit untuk
menampung yuran pelajaran dan sebagainya. Walaupun ditegah awal-awal oleh
ibunya, dia tetap menyimpan hasrat itu di dalam dirinya. Malah sentiasa
membara.
“Cakap apa? Cepatlah cakap. Kita ni
nak masak cepat. Nanti ada tetamu nak datang.” Kamsah masih rancak
dengan tugasnya dan sabar menanti bicara anaknya yang masih lagi kabur.
“Aya… Aya… dapat… dapat tawaran
belajar,” terluncur jua perkataan itu dibibir Cahaya. Lega sedikit hatinya.
Huh! Mintak-mintak mak bagi reaksi positif.
Pekerjaan Kamsah tiba-tiba
terhenti. Berderau juga darahnya apabila mendengar berita itu. Anak mata
anaknya dicari dan ditenung dalam. Namun hanya seketika. Nafas berat
dilepaskan. Tangannya yang tergendala daripada melakukan kerja tadi, kembali
bergerak. Tiba-tiba fikirannya terlintas akan perkara yang sudah dirancang
olehnya dan Datuk Roffi serta Datin Faridah. Bergedup laju jantungnya.
Fikirannya mula bercelaru. Anak gadisnya ini belum dimaklumkan lagi.
Cahaya mula merasakan aura negatif
daripada maknya. Nampak gayanya mak macam tak suka dengan berita ini. Aduh!
Musnahlah impian aku nak belajar tinggi-tinggi. Ah, aku kena pujuk jugak mak.
Hati Cahaya mula berkata-kata sendiri.
“Mak… Aya nak jugak pergi. Nilah
masanya untuk Aya buktikan pada semua orang. Walaupun kita ni miskin, tak ada
duit, tapi tetap boleh berjaya. Lagi satu, Aya janji akan belajar
bersungguh-sungguh. Aya akan pastikan Aya dapat result best-best dekat
Politeknik tu nanti. Dah habis belajar nanti, Aya boleh cari kerja best-best.
Lepas tu, kita keluar daripada sini dan hidup senang. Aya janji mak.” Cahaya
sudah mendekati maknya. Bahu perempuan tua itu dipegang kejap seraya merenung
anak mata tua yang sudah banyak memberi jasa kepadanya. Inilah masanya untuk
membalas budi orang tuanya itu. Nekad hatinya.
“Cahaya, Mak gembira mendengar
khabar kamu dapat tawaran belajar tu nak…” namun kata-kata Kamsah terputus di
situ. Dia tidak sanggup untuk meneruskan kata-kata seterusnya. Wajah polos
anaknya dipandang redup.
“Jadi, Mak setujulah?” ulas Cahaya
lanjut. Mendengar kata-kata maknya, seperti akan ada tanda positif namun raut
wajah maknya yang mendung, menambah rasa resah hatinya.
Makcik Kamsah tersepit. Tersepit
dengan cita-cita anaknya dan rancangan majikannya. Namun, apabila peristiwa
hitam yang dilihatnya 2 tahun dulu menerpa benaknya, membuatkan dia nekad jua
dengan rancangannya.
“Aya, walau apa pun keputusan kamu,
mak tetap tak benarkan kamu sambung belajar!” kata Kamsah tegas. Raut
wajahnya serius. Seperti mengiyakan kata-katanya. Namun, disebalik wajahnya
yang serius, hatinya mendung. Mendung terpaksa memecah dan memusnahkan harapan
anaknya.
Cahaya melepaskan nafas kecewa.
Sudah dia duga pasti kata-kata itu akan menjadi jawapan ibunya. Rasa kecewanya
cuba disembunyikan. Dia tersenyum kelat.
“Tak apalah kalau mak tak bagi. Aya
faham. Lagipun, yuran pengajian je dah banyak nak kena bayar. Belum masuk lagi
kos benda-benda asas untuk belajar. Walaupun ada pinjaman, memang tak cukup
untuk menampung kos pembalajaran. Lagi-lagi orang miskin macam kita ni. Memang
tak layak untuk masuk U.” meski pun pahit untuk diluahkan, dia tetap
mengucapkannya. Dia tidak mahu membantah kata-kata ibunya. Cukup hanya sekali
ibunya kata ‘TIDAK’ maka itulah keputusannya. Air mata yang membenteng di
kelopak mata, ditahan agar tidak menitis.
Kamsah terjeda. Kata-kata Cahaya
cukup meruntun hatinya. Sungguh anak itu polos orangnya. Tidak pernah membantah
apa yang diperintahnya. Dituruti semua kehendaknya. Terasa hatinya dicengkam
rasa bersalah. Lebih-lebih lagi dengan rancangan yang sudah diaturnya. Namun
cepat-cepat akalnya menepis perasaan itu. Dia melakukan semua itu demi masa
depan anaknya juga.
“Terima kasih sebab faham. Cepatlah
masak. Kejap lagi anak Datuk dengan Datin datang. Berlapar pulak dia kalau kita
tak siap masak lagi. Asyik bercakap tak sudah-sudah.” Kamsah segera berpaling
ke arah lain. Dia sudah tidak mampu lagi berkata apa-apa. Cepat-cepat dia
menukar topik perbualan mereka. Rasa bersalah yang mula menjalar, perlu segera
diusir. Air matanya yang sudah tumpah segera diseka dengan lengan bajunya.
Mendengar bicara maknya, membuatkan
hati Cahaya yang kecewa tadi berdebar kembali. Anak Datuk dengan Datin datang?
Siapa pulak? Tuan Shahril ke? Hatinya tertanya-tanya. Mujur saja dia tidak perasankan
tingkah maknya.
“Anak yang mana satu mak? Shahrul?
Shahril? Salina?” ringan pula mulut Cahaya ingin bertanya. Bertanya untuk
memadamkan debar yang melanda dihatinya. Dadanya bergetar hebat. Jantung
berdegup tidak serasi.
“Shahril lah. Dia kan dah lama tak
balik sini.”
Mendengar bicara maknya, membuatkan
tangannya menggeletar tiba-tiba.
************************
KEHADIRAN orang yang dimaksudkan
oleh maknya dinantikan penuh debaran. Hatinya bergolak resah. Tidak menentu
duduknya. Sekejapan berdiri. Sekejapan duduk. Selepas tu beralih arah pulak
menghadap jendela dan mengintai jika ada kereta yang sering diguna pakai oleh
lelaki itu sudah menjalar di ruang pakir atau belum.
Tetapi kenapa hati aku berdebar ya?
Apa kena dengan aku ni? Tuan Shahril bukannya sesiapa pada aku. Cahaya
bermonolog sendiri di dalam biliknya. Tiba-tiba rasa yang terpendam dan
tersingkap disebalik hatinya selama ini bagai terbuka perlahan dan meresap ke
dalam jiwanya. Rasa yang sudah terbit seawal dia 15 tahun terhadap anak majikannya
itu.
Ah! Aku kena buang perasaan ni.
Kalau mak tahu mampus aku. Nanti mak cakap tak sedar diri pula. Sudahlah anak
orang miskin, tiada tempat bergantung, menumpang dan bekerja dirumah mak bapak
dia tapi ada hati nak menaruh harapan pada anak dia. Tak tahu malu! Tapi kalau
Tuan Shahril tahu, lagi malu. Aku ni apa yang ada. Akal dan hati Cahaya
terus-terusan bercelaru.
Pintu terkuak daripada luar. Muka
Kamsah terjengul mencari kelibat anaknya yang seorang itu.
“Hah! Dekat sini pun anak dara
bertuah sorang ni. Jenuh mak cari. Boleh pulak dia duduk dalam bilik ni,
bukannya nak tolong mak dekat dapur tu tolong hidang lauk-pauk. Duduk pulak dia
dalam bilik ni.” Tegur Kamsah pada Cahaya.
Cahaya terkulat-kulat mendengar
bebelan maknya itu. Rasa debarnya diusir jauh agar maknya tidak perasan akan
riaknya yang gelabah.
“Maaf mak. Tadi Aya rasa letih
sikit. Sebab tu duduk sekejap dalam bilik ni. Lagipun Aya baru je siap
sembahyang asar tadi. Jom mak kita atur pinggan cawan dan lauk. Nanti tetamu
datang terpaksa pulak dia menunggu kita berhidang.” Ajak Cahaya. Langkah
kakinya sudah bergerak mahu keluar daripada bilik mak dan dirinya tidur setiap
malam.
“Yelah…” mereka berjalan beiringan
ke dapur rumah besar itu. Mahu memulakan tugas sewajarnya.
Ting! Tong!
Tiba-tiba kekhusyukan mereka
melaksanakan tugas, dikejutkan dengan bunyi loceng rumah yang bergema. Terus
memancar tajam anak mata Cahaya ke arah pintu utama rumah itu. dia sudah
sampaikah? Hatinya tertanya-tanya.
“Hah, pergi tengokkan siapa yang
datang tu. Biar mak yang uruskan semua ni.” Arah Kamsah. Pasti tetamu yang
ditunggu-tunggu sudah tiba.
Ting! Tong! Bunyi loceng rumah
kedengaran lagi.
“Aya ke yang kena pergi buka pintu
mak?” tanya Cahaya polos. Kamsah yang mendengar soalan blur daripada Cahaya
itu, membulatkan mata!
“Bertuah punya budak! Kamulah!
Siapa lagi? Sudah… pergi buka pintu cepat!”
Cahaya dengan teragak-agaknya,
menapak ke arah pintu utama. Setiap langkah yang diatur terasa di atas
awang-awangan. Jantungnya berdegup pantas. Tombol pintu terus dipulas perlahan
dan melebarkan daun pintu. Pandangannya ditalakan ke lantai. Segan mahu
merenung apa yang ada dihadapannya kini.
“Buka pintu pun lembab…” hanya itu
yang kedengaran ditelinga. Pedas dan berapi tetapi cukup mendebarkan hatinya.
“Ke tepilah… aku nak masuk ni,” suara garau itu berbunyi lagi.
Terkalut Cahaya dibuatnya apabila
dia sedar yang badannya menghalang langkah lelaki itu. Sebaik Shahril melangkah
masuk, daun pintu ditutup rapat. Dia melepaskan nafas lega. “Fuhhh… Nasib baik
tak melompat keluar jantung ni.” Omelnya sendirian.
Cahaya menghantar Shahril dengan
ekor matanya. Hatinya berdebar kencang melihat Shahril. Ya ALLAH kacak sungguh
Tuan Shahril ni. Dah putih, kening dia lebat dan terbentuk cantik. Muka dia
memang handsome dan kacak. Rasanya memang cair hati aku ni setiap kali tengok
dia. Ya ALLAH sungguh indah ciptaanMu ini. Cahaya sudah mula berangan!
“Anak mama, sampai pun… Thank you for spend your time to join our
dinner tonight…” kedengaran suara Datin Faridah memecah di ruang tamu.
“Hmmm…” hanya itu yang terbit
dimulut Shahril yang sudah melabuhkan punggung sambil membelek majalah. Datin
Faridah yang mendengar jawapan itu sedikit terkilan. Itu tandanya anaknya itu
masih berkecil hati dengannya. Anaknya yang sedang menumpukan terhadap pembacaan
majalah itu didekat.
“So, macam mana kerja? Kenapa tak balik sekali dengan papa? Papa still at the office?” Datin Faridah
cuba untuk menghangatkan suasana yang dingin antara dia dan anaknya.
“I no have idea.” Itu saja jawapan Shahril yang masih membelek
majalah. “Aya, tolong buatkan aku air fresh
orange. Taknak ais.” Cahaya yang melewati ruang tamu itu ditegur. Terhenti
langkah gadis itu. Matanya masih di majalah.
“Err… baik Tuan.” Tanpa banyak
soal, terus dia melangkah ke dapur.
“Hmmm… Shah, duduklah dulu ya? Mama
nak pergi tolong Makcik Kamsah dekat dapur.” Pamit Datin Faridah apabila
melihat kedinginan anaknya itu. Biarlah ‘angin’ anaknya itu reda dengan
sendirinya.
Selepas 10 minit berlalu, Cahaya
datang sambil menatang segelas fresh
orange di atas dulang. Hatinya berdebar-debar mahu mendekati lelaki yang
berkemeja biru laut dan slack hitam itu. “Ini airnya tuan…” baru saja dia mahu
menghulur air itu, tiba-tiba kakinya tersepak kaki meja bersaiz bersederhana di
tengah ruang tamu itu. Habis tercurah air fresh
orange pada baju Shahril yang khusyuk membaca.
“Apa ni?! Buat kerja macam mana ni?
Nampak ke tidak aku tengah membaca? Kenapa tidak letak dulu atas meja ni?”
memetir suara Shahril. Cahaya terkulat-kulat disitu.
“Ma… Maaf Tuan Shahril. Saya tak sengaja…”
Kecut perut Cahaya apabila memandang anak mata Shahril yang sudah memerah
menahan marah. Dia sudah bangkit daripada duduknya.
“Maaf? Itulah aje yang kau tahu ya?
Maaf! Maaf! Ni dah nampak baju aku basah, tak reti-reti nak ambil tisu atau
kain? Ke kau buta?” sindir Shahril sepuas hati.
Cahaya yang mendengar kata-kata
pedas itu, berdesing lubang telinganya! Eeeee… nama aje lelaki tapi mulut
mengalahkan perempuan bila membebel! Cahaya sudah mula juga menyumpah di dalam
hati.
Dengan tidak ikhlasnya, Cahaya
mencapai tisu yang berdekatan.
“Ini tisunya Tuan…” hulur Cahaya
dengan teragak-agak.
Shahril merampas kasar tisu yang
dihulur Cahaya. Matanya menjeling tajam Cahaya yang menunduk buat muka tak
bersalah itu. Bengang sunggu dia dengan lagak Cahaya itu.
“Buat kerja macam mana entah…
sampai tertumpah-tumpah air dekat baju kerja aku ni. Orang dahlah letih-letih
balik kerja, nak berehat. Dia menambahkan pening!” bebel Shahril sambil
mengesat air yang tertumpah pada bajunya itu.
Cahaya yang mendengar bebelan itu sekadar
beristighfar di dalam hati. Kalau ikutkan nafsu marahnya memang dia mahu beri
sedas dua ayat pedas dekat mamat ni. Namun dia tidak berani!
Kamsah dan Datin Faridah yang
mendengar pentengkaran itu, terkocoh-kocoh ke ruang tamu.
“Kenapa Aya, Shah?” soal Datin
Faridah. Kamsah sudah berdiri dibelakang Cahaya dan menggosok-gosok perlahan
belakang Cahaya. “Macam mana Aya boleh buat macam tu?” tanyanya perlahan.
“You can ask your lovely maid!” ujar Shahril lalu terus berlalu ke
tingkat atas. Menuju ke bilik khasnya di rumah ini, mahu menukar pakaian.
Meluat sungguh dia dengan anak pembantu rumah mamanya itu. Buat kerja yang
begitu senang pun boleh cuai!
“Maaf Puan. Aya tak sengaja. Kaki
Aya tadi tersepak kaki meja ni.” Mohon Cahaya pada Datin Faridah.
“Tak apa Aya. Tak disengajakan.
Sudah… pergi sambung kerja di dapur.”
“Maaf sekali lagi puan.” Ucap
Kamsah pula bagi pihak Cahaya dan terus berlalu ke dapur.
Datin Faridah sekadar menggelengkan kepala mendengar
pertengkaran tadi. Hai, tak tahulah apa akan jadi kalau mereka kahwin nanti!
Hatinya turut tertanya-tanya.
ok gak
ReplyDeletebest...
ReplyDeletesambungnya cepat skit ye...x sbar nk bace...
ReplyDelete