Saturday 22 June 2013

Tanpa Kekasihku 2





BAB 2

NUR AMINAH atau mesra dipanggil Cahaya dikalangan orang terdekat, bernyanyi-nyanyi kecil sambil membasuh beras disingki. Dahulu, dia tertanya-tanya jugak mengapa orang memanggilnya dengan nama itu. Sedangkan nama penuhnya Nur Aminah. Setelah ditanya pada ibunya, baru dia mengerti. Kata ibunya, ketika melahirkannya, bulan pada malam tersebut bercahaya indah seolah-olah gembira dengan kehadirannya di bumi ini. Daripada situ tercetusnya ilham untuk memanggil dirinya Cahaya selain daripada maksud nama pangkal, Cahaya. Selain itu, nama arwah ibu arwah abahnya juga, Cahaya. Jadi, diabadikan nama itu terhadap dirinya. Aminah itu pula bersempena dengan nama bonda baginda Rasulullah SAW.

Hati Cahaya berlagu riang hari ini. Berita yang dia terima pagi ini sungguh mengujakan hatinya. Setelah beberapa tahun menunggu, akhirnya impiannya untuk melanjutkan ke menara gading tercapai. Kiranya, tidaklah tak berguna langsung Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu. Walaupun hanya mencapai keputusan yang sederhana, namun tetap membuahkan hasil apabila dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (PoLiSas) di Kuantan, Pahang. Sungguh hatinya memanjatkan syukur yang tidak terhingga apabila dia menerima khabar itu pada Yang Maha Esa. Sepatutnya dia memenjaki institut pengajian tinggi itu setahun yang lepas. Namun ekoran halangan daripada maknya, dia terpaksa memadamkan hasratnya. Tetapi, berkat pertolongan rakannya, Salina kali ini dia terpilih. Gembira bukan kepalang lagi hatinya saat ini. Senyumannya kalau boleh sampai ke telinga.

“Hai, anak dara buat kerja sambil tersengih-sengih ni, apa kes? Nanti kang kembang pulak beras tu…tak menjadi nasi. Habis tetamu kita, tak makanlah jawabnya.” Tegur Kamsah pada anak daranya yang satu itu. Hatinya dipagut tanda tanya. Apalah yang membuatkan anaknya tersenyum-senyum sampai begitu sekali.

“Mak ni… bagilah salam dulu sebelum tegur orang. Nasib baik anak mak ni tak ada penyakit kronik. Kalau ada, memang mak dah kena hantar Aya pergi hospital dah tau. Habis dah duit melayang dekat situ.” Cahaya tersengih malu. Rasa gembiranya masih tidak hilang. Malah, sindiran kecil daripada maknya juga tidak mampu untuk membuang perasaan gembira itu. Tangannya masih lincah membilas beras buat kali yang terakhir.

“Eh, ke situ pulak dia. Betullah apa yang mak cakap tu. Tak baik tau anak dara buat kerja macam tu. Tersengih-sengih, dah macam orang angau mak tengok. Jangan risau, mak ni dah bela kamu dari kecil tapak tangan, sampailah dah besar ni. Setakat ni alhamdulillah sebab kamu memang tak ada penyakit-penyakit kronik. Hah, sebab apa kamu tersengih-sengih nak sampai ke telinga?” Kamsah sudah mahu mengorek rahsia anaknya yang dipanggil Cahaya itu. Jarang sekali dia melihat anak gadisnya itu tersengih seperti itu. Seperti sesuatu yang bahagia sedang menggamit diri anaknya itu.

Cahaya sekadar tersenyum manis. Kain buruk yang berada berhampiran dicapai. Lalu, dilap sekeliling periuk untuk memasak nasi secara automatik itu. Penutup periuk nasi diambil dan ditutup kemas pada periuk nasi tersebut. Suis dihidupkan. Tangannya yang lembab dilap pada kain buruk. Selesai pun tugasnya memasak nasi.

Kamsah masih lagi setia menunggu jawapan daripada anaknya sambil mencarik-carik pucuk ubi yang baru dia ambil dikebun kecil di belakang banglo Tuannya.

“Mak…” panggil Cahaya perlahan. Rasa hatinya yang gembira tadi bertukar gemuruhlah pula. Gemuruh untuk memberitahu kepada maknya tentang khabar gembira ini. Sememangnya gembira untuknya namun tidak pasti buat maknya.

“Hmmm…” sahut Kamsah bersahaja. Menunggu bila anaknya mahu membuka mulut.

“Mak, Aya ada benda nak cakap ni…” ucap Cahaya dengan intonasi yang perlahan. Makin kencang pula degupan jantungnya ini. Terasa takut untuk melihat reaksi ibunya terhadap khabar itu. Dulu, ibunya pernah menolak apabila dia menyuarakan impiannya untuk melanjutkan pelajaran. Kata ibunya, dia sekeluarga orang miskin. Mana ada duit untuk menampung yuran pelajaran dan sebagainya. Walaupun ditegah awal-awal oleh ibunya, dia tetap menyimpan hasrat itu di dalam dirinya. Malah sentiasa membara.

“Cakap apa? Cepatlah cakap. Kita ni nak masak cepat. Nanti ada tetamu nak datang.” Kamsah masih rancak dengan tugasnya dan sabar menanti bicara anaknya yang masih lagi kabur.

“Aya… Aya… dapat… dapat tawaran belajar,” terluncur jua perkataan itu dibibir Cahaya. Lega sedikit hatinya. Huh! Mintak-mintak mak bagi reaksi positif.

Pekerjaan Kamsah tiba-tiba terhenti. Berderau juga darahnya apabila mendengar berita itu. Anak mata anaknya dicari dan ditenung dalam. Namun hanya seketika. Nafas berat dilepaskan. Tangannya yang tergendala daripada melakukan kerja tadi, kembali bergerak. Tiba-tiba fikirannya terlintas akan perkara yang sudah dirancang olehnya dan Datuk Roffi serta Datin Faridah. Bergedup laju jantungnya. Fikirannya mula bercelaru. Anak gadisnya ini belum dimaklumkan lagi.

Cahaya mula merasakan aura negatif daripada maknya. Nampak gayanya mak macam tak suka dengan berita ini. Aduh! Musnahlah impian aku nak belajar tinggi-tinggi. Ah, aku kena pujuk jugak mak. Hati Cahaya mula berkata-kata sendiri.

“Mak… Aya nak jugak pergi. Nilah masanya untuk Aya buktikan pada semua orang. Walaupun kita ni miskin, tak ada duit, tapi tetap boleh berjaya. Lagi satu, Aya janji akan belajar bersungguh-sungguh. Aya akan pastikan Aya dapat result best-best dekat Politeknik tu nanti. Dah habis belajar nanti, Aya boleh cari kerja best-best. Lepas tu, kita keluar daripada sini dan hidup senang. Aya janji mak.” Cahaya sudah mendekati maknya. Bahu perempuan tua itu dipegang kejap seraya merenung anak mata tua yang sudah banyak memberi jasa kepadanya. Inilah masanya untuk membalas budi orang tuanya itu. Nekad hatinya.

“Cahaya, Mak gembira mendengar khabar kamu dapat tawaran belajar tu nak…” namun kata-kata Kamsah terputus di situ. Dia tidak sanggup untuk meneruskan kata-kata seterusnya. Wajah polos anaknya dipandang redup.

“Jadi, Mak setujulah?” ulas Cahaya lanjut. Mendengar kata-kata maknya, seperti akan ada tanda positif namun raut wajah maknya yang mendung, menambah rasa resah hatinya.

Makcik Kamsah tersepit. Tersepit dengan cita-cita anaknya dan rancangan majikannya. Namun, apabila peristiwa hitam yang dilihatnya 2 tahun dulu menerpa benaknya, membuatkan dia nekad jua dengan rancangannya.

“Aya, walau apa pun keputusan kamu, mak tetap tak benarkan kamu sambung belajar!” kata Kamsah tegas. Raut wajahnya serius. Seperti mengiyakan kata-katanya. Namun, disebalik wajahnya yang serius, hatinya mendung. Mendung terpaksa memecah dan memusnahkan harapan anaknya.

Cahaya melepaskan nafas kecewa. Sudah dia duga pasti kata-kata itu akan menjadi jawapan ibunya. Rasa kecewanya cuba disembunyikan. Dia tersenyum kelat.

“Tak apalah kalau mak tak bagi. Aya faham. Lagipun, yuran pengajian je dah banyak nak kena bayar. Belum masuk lagi kos benda-benda asas untuk belajar. Walaupun ada pinjaman, memang tak cukup untuk menampung kos pembalajaran. Lagi-lagi orang miskin macam kita ni. Memang tak layak untuk masuk U.” meski pun pahit untuk diluahkan, dia tetap mengucapkannya. Dia tidak mahu membantah kata-kata ibunya. Cukup hanya sekali ibunya kata ‘TIDAK’ maka itulah keputusannya. Air mata yang membenteng di kelopak mata, ditahan agar tidak menitis.

Kamsah terjeda. Kata-kata Cahaya cukup meruntun hatinya. Sungguh anak itu polos orangnya. Tidak pernah membantah apa yang diperintahnya. Dituruti semua kehendaknya. Terasa hatinya dicengkam rasa bersalah. Lebih-lebih lagi dengan rancangan yang sudah diaturnya. Namun cepat-cepat akalnya menepis perasaan itu. Dia melakukan semua itu demi masa depan anaknya juga.

“Terima kasih sebab faham. Cepatlah masak. Kejap lagi anak Datuk dengan Datin datang. Berlapar pulak dia kalau kita tak siap masak lagi. Asyik bercakap tak sudah-sudah.” Kamsah segera berpaling ke arah lain. Dia sudah tidak mampu lagi berkata apa-apa. Cepat-cepat dia menukar topik perbualan mereka. Rasa bersalah yang mula menjalar, perlu segera diusir. Air matanya yang sudah tumpah segera diseka dengan lengan bajunya.

Mendengar bicara maknya, membuatkan hati Cahaya yang kecewa tadi berdebar kembali. Anak Datuk dengan Datin datang? Siapa pulak? Tuan Shahril ke? Hatinya tertanya-tanya. Mujur saja dia tidak perasankan tingkah maknya.

“Anak yang mana satu mak? Shahrul? Shahril? Salina?” ringan pula mulut Cahaya ingin bertanya. Bertanya untuk memadamkan debar yang melanda dihatinya. Dadanya bergetar hebat. Jantung berdegup tidak serasi.

“Shahril lah. Dia kan dah lama tak balik sini.”

Mendengar bicara maknya, membuatkan tangannya menggeletar tiba-tiba.

************************

KEHADIRAN orang yang dimaksudkan oleh maknya dinantikan penuh debaran. Hatinya bergolak resah. Tidak menentu duduknya. Sekejapan berdiri. Sekejapan duduk. Selepas tu beralih arah pulak menghadap jendela dan mengintai jika ada kereta yang sering diguna pakai oleh lelaki itu sudah menjalar di ruang pakir atau belum.

Tetapi kenapa hati aku berdebar ya? Apa kena dengan aku ni? Tuan Shahril bukannya sesiapa pada aku. Cahaya bermonolog sendiri di dalam biliknya. Tiba-tiba rasa yang terpendam dan tersingkap disebalik hatinya selama ini bagai terbuka perlahan dan meresap ke dalam jiwanya. Rasa yang sudah terbit seawal dia 15 tahun terhadap anak majikannya itu.

Ah! Aku kena buang perasaan ni. Kalau mak tahu mampus aku. Nanti mak cakap tak sedar diri pula. Sudahlah anak orang miskin, tiada tempat bergantung, menumpang dan bekerja dirumah mak bapak dia tapi ada hati nak menaruh harapan pada anak dia. Tak tahu malu! Tapi kalau Tuan Shahril tahu, lagi malu. Aku ni apa yang ada. Akal dan hati Cahaya terus-terusan bercelaru.

Pintu terkuak daripada luar. Muka Kamsah terjengul mencari kelibat anaknya yang seorang itu.

“Hah! Dekat sini pun anak dara bertuah sorang ni. Jenuh mak cari. Boleh pulak dia duduk dalam bilik ni, bukannya nak tolong mak dekat dapur tu tolong hidang lauk-pauk. Duduk pulak dia dalam bilik ni.” Tegur Kamsah pada Cahaya.

Cahaya terkulat-kulat mendengar bebelan maknya itu. Rasa debarnya diusir jauh agar maknya tidak perasan akan riaknya yang gelabah.

“Maaf mak. Tadi Aya rasa letih sikit. Sebab tu duduk sekejap dalam bilik ni. Lagipun Aya baru je siap sembahyang asar tadi. Jom mak kita atur pinggan cawan dan lauk. Nanti tetamu datang terpaksa pulak dia menunggu kita berhidang.” Ajak Cahaya. Langkah kakinya sudah bergerak mahu keluar daripada bilik mak dan dirinya tidur setiap malam.

“Yelah…” mereka berjalan beiringan ke dapur rumah besar itu. Mahu memulakan tugas sewajarnya.

Ting! Tong!

Tiba-tiba kekhusyukan mereka melaksanakan tugas, dikejutkan dengan bunyi loceng rumah yang bergema. Terus memancar tajam anak mata Cahaya ke arah pintu utama rumah itu. dia sudah sampaikah? Hatinya tertanya-tanya.

“Hah, pergi tengokkan siapa yang datang tu. Biar mak yang uruskan semua ni.” Arah Kamsah. Pasti tetamu yang ditunggu-tunggu sudah tiba.

Ting! Tong! Bunyi loceng rumah kedengaran lagi.

“Aya ke yang kena pergi buka pintu mak?” tanya Cahaya polos. Kamsah yang mendengar soalan blur daripada Cahaya itu, membulatkan mata!

“Bertuah punya budak! Kamulah! Siapa lagi? Sudah… pergi buka pintu cepat!”

Cahaya dengan teragak-agaknya, menapak ke arah pintu utama. Setiap langkah yang diatur terasa di atas awang-awangan. Jantungnya berdegup pantas. Tombol pintu terus dipulas perlahan dan melebarkan daun pintu. Pandangannya ditalakan ke lantai. Segan mahu merenung apa yang ada dihadapannya kini.

“Buka pintu pun lembab…” hanya itu yang kedengaran ditelinga. Pedas dan berapi tetapi cukup mendebarkan hatinya. “Ke tepilah… aku nak masuk ni,” suara garau itu berbunyi lagi.

Terkalut Cahaya dibuatnya apabila dia sedar yang badannya menghalang langkah lelaki itu. Sebaik Shahril melangkah masuk, daun pintu ditutup rapat. Dia melepaskan nafas lega. “Fuhhh… Nasib baik tak melompat keluar jantung ni.” Omelnya sendirian.

Cahaya menghantar Shahril dengan ekor matanya. Hatinya berdebar kencang melihat Shahril. Ya ALLAH kacak sungguh Tuan Shahril ni. Dah putih, kening dia lebat dan terbentuk cantik. Muka dia memang handsome dan kacak. Rasanya memang cair hati aku ni setiap kali tengok dia. Ya ALLAH sungguh indah ciptaanMu ini. Cahaya sudah mula berangan!

“Anak mama, sampai pun… Thank you for spend your time to join our dinner tonight…” kedengaran suara Datin Faridah memecah di ruang tamu.

“Hmmm…” hanya itu yang terbit dimulut Shahril yang sudah melabuhkan punggung sambil membelek majalah. Datin Faridah yang mendengar jawapan itu sedikit terkilan. Itu tandanya anaknya itu masih berkecil hati dengannya. Anaknya yang sedang menumpukan terhadap pembacaan majalah itu didekat.

So, macam mana kerja? Kenapa tak balik sekali dengan papa? Papa still at the office?” Datin Faridah cuba untuk menghangatkan suasana yang dingin antara dia dan anaknya.

I no have idea.” Itu saja jawapan Shahril yang masih membelek majalah. “Aya, tolong buatkan aku air fresh orange. Taknak ais.” Cahaya yang melewati ruang tamu itu ditegur. Terhenti langkah gadis itu. Matanya masih di majalah.

“Err… baik Tuan.” Tanpa banyak soal, terus dia melangkah ke dapur.

“Hmmm… Shah, duduklah dulu ya? Mama nak pergi tolong Makcik Kamsah dekat dapur.” Pamit Datin Faridah apabila melihat kedinginan anaknya itu. Biarlah ‘angin’ anaknya itu reda dengan sendirinya.

Selepas 10 minit berlalu, Cahaya datang sambil menatang segelas fresh orange di atas dulang. Hatinya berdebar-debar mahu mendekati lelaki yang berkemeja biru laut dan slack hitam itu. “Ini airnya tuan…” baru saja dia mahu menghulur air itu, tiba-tiba kakinya tersepak kaki meja bersaiz bersederhana di tengah ruang tamu itu. Habis tercurah air fresh orange pada baju Shahril yang khusyuk membaca.

“Apa ni?! Buat kerja macam mana ni? Nampak ke tidak aku tengah membaca? Kenapa tidak letak dulu atas meja ni?” memetir suara Shahril. Cahaya terkulat-kulat disitu.

“Ma… Maaf Tuan Shahril. Saya tak sengaja…” Kecut perut Cahaya apabila memandang anak mata Shahril yang sudah memerah menahan marah. Dia sudah bangkit daripada duduknya.

“Maaf? Itulah aje yang kau tahu ya? Maaf! Maaf! Ni dah nampak baju aku basah, tak reti-reti nak ambil tisu atau kain? Ke kau buta?” sindir Shahril sepuas hati.

Cahaya yang mendengar kata-kata pedas itu, berdesing lubang telinganya! Eeeee… nama aje lelaki tapi mulut mengalahkan perempuan bila membebel! Cahaya sudah mula juga menyumpah di dalam hati.

Dengan tidak ikhlasnya, Cahaya mencapai tisu yang berdekatan.

“Ini tisunya Tuan…” hulur Cahaya dengan teragak-agak.

Shahril merampas kasar tisu yang dihulur Cahaya. Matanya menjeling tajam Cahaya yang menunduk buat muka tak bersalah itu. Bengang sunggu dia dengan lagak Cahaya itu.

“Buat kerja macam mana entah… sampai tertumpah-tumpah air dekat baju kerja aku ni. Orang dahlah letih-letih balik kerja, nak berehat. Dia menambahkan pening!” bebel Shahril sambil mengesat air yang tertumpah pada bajunya itu.

Cahaya yang mendengar bebelan itu sekadar beristighfar di dalam hati. Kalau ikutkan nafsu marahnya memang dia mahu beri sedas dua ayat pedas dekat mamat ni. Namun dia tidak berani!

Kamsah dan Datin Faridah yang mendengar pentengkaran itu, terkocoh-kocoh ke ruang tamu.


“Kenapa Aya, Shah?” soal Datin Faridah. Kamsah sudah berdiri dibelakang Cahaya dan menggosok-gosok perlahan belakang Cahaya. “Macam mana Aya boleh buat macam tu?” tanyanya perlahan.

You can ask your lovely maid!” ujar Shahril lalu terus berlalu ke tingkat atas. Menuju ke bilik khasnya di rumah ini, mahu menukar pakaian. Meluat sungguh dia dengan anak pembantu rumah mamanya itu. Buat kerja yang begitu senang pun boleh cuai!

“Maaf Puan. Aya tak sengaja. Kaki Aya tadi tersepak kaki meja ni.” Mohon Cahaya pada Datin Faridah.

“Tak apa Aya. Tak disengajakan. Sudah… pergi sambung kerja di dapur.”

“Maaf sekali lagi puan.” Ucap Kamsah pula bagi pihak Cahaya dan terus berlalu ke dapur.


Datin Faridah sekadar menggelengkan kepala mendengar pertengkaran tadi. Hai, tak tahulah apa akan jadi kalau mereka kahwin nanti! Hatinya turut tertanya-tanya.

3 comments: